Name:
Email Address:
Apakah pandangan anda terhadap blog ini?
Anda ada soalan , permintaan atau perlukan bantuan? nyatakan.

This HTML form was created by Freedback.

Friday, December 10, 2010

3M sukarkah mencari yang solehah?

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala pujian hanya bagi Allah, pemilik, pencipta, dan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, pemimpin agung dan contoh teladan terbaik. InsyaAllah, catatan 3 Muharram ini akan membicarakan tajuk ‘Soleh untuk solehah”.
Dunia ini perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.
Hadis riwayat muslim.

SUKARKAH MENCARI CALON SOLEH/ SOLEHAH?
Tidak perlu susah-susah untuk meneropong, mengkaji, menelek dan menilai iman dan taqwa di dalam dada orang lain. Apa yang kita perlu laksanakan adalah: Jadikanlah diri kita sebagai calon suami yang soleh terlebih dahulu. Kenal pasti dahulu ciri-ciri suami yang soleh, kemudian binalah semula ciri-ciri tersebut di dalam diri sendiri terlebih dahulu. Seterusnya, laksanakanlah muhasabah iman dan taqwa dalam diri kita sendiri. Tanyakan kepada diri, adakah aku ini telah menepati kriteria lelaki soleh atau sebaliknya?. Cuba koreksi diri dan padankan ciri-ciri lelaki soleh yang ada di dalam diri kita. Jawablah dengan jujur. Sukar bukan?. Tidak dinafikan, amat sukar untuk kita menjawabnya.. Maka sewajarnya kita sedar bahawa untuk mengukur iman dan taqwa pada diri orang lain adalah lebih sukar dan kompleks. Jadi, jangan sia-siakan tenaga dan masa anda untuk berhempas pulas mengkaji iman dan taqwa pada diri orang lain, mencari calon yang solehah. Ingatlah, “perempuan-perampuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik. Manakala lelaki-leklaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik. (An-Nur 24: 26).

BAGAIMANAKAH KAEDAHNYA?
Kunci kejayaan untuk mendapat isteri yang solehah terletak pada diri lelaki itu sendiri. Semuanya bermula dengan usaha terhadap diri kita sendiri. Walaupun kaedah ini dilihat agak lembap, tetapi ia boleh dipercepatkan dengan syarat, lelaki itu cepat membuat perubahan membina sifat-sifat soleh di dalam dirinya. Itulah ikhtiar terbaik yang perlu ditekankan oleh setiap lelaki.
Usahalah dengan sebaik-baik tadbir, kemudian tunggulah sebaik-baik takdir.
Namun, usaha menjadikan diri sendiri soleh (atau solehah) ini tidaklah menafikan ikhtiar mencari jodoh dengan cara yang beradab dan makruf. Anda boleh bertanya berwakilkan ibu bapa, merisik khabar menerusi kawan-kawan dan lain-lain saluran yang dibernarkan oleh syarak. Perkara yang perlu ditekankan adalah untuk berusaha menjadikan diri kita soleh / solehah berbanding mencari calon yang soleh / solehah.

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI
Sepatutnya kita berasa malu kepada Allah sekiranya kita inginkan pasangan yang solehah sedangkan diri kita tidak layak dikategorikan sebagai ‘lelaki soleh’. Hahaha, lucu juga apabila mendengar kisah pemuda yang tunggang-langgang hidupnya di bandar, kaki botol, berpeleseran, berjudi dan lain-lain perbuatan maksiat tetapi apabila hendak berumahtangga, meminta ibu carikan wanita yang solehah di kampung. Ada di antara mereka yang berkata, “wanita yang jahat mana boleh dijadikan isteri…jadi bini bolehlah”. Sesunguhnya mereka tidak sedar yang mereka juga sebenarnya tidak layak dijadikan suami, hanya layak dijadikan laki!.
Itulah fitrah tabi’ie manusia, walaupun diri sejahat mana sekalipun, tetapi tetap inginkan yang baik. Apa pandangan kita tentang ini?. Apakah kaedah ini boleh berjaya?. Jika anda seorang wanita, sanggupkah anda menerima lelaki yang semacam itu?. Saya tidak persoalkan kewajaran kita mendidik selepas berkahwin nanti, tetapi jika diberi pilihan, apakah pilihan anda? Tentulah anda menolak calon suami yang sedemikian. Pada kaum lelaki seperti itu, kita ingin mengingatkan, tergamakkah kita inginkan yang baik sedangkan kita tahu akan keburukan diri sendiri.

PERMUDAHKANLAH
Mencari calon yang soleh atau solehah janganlah terlalu dipersukarkan. Jangan terlalu ideal kerana piawaian soleh atau solehah tidak ada tamatnya. Sifat soleh dan solehah adalah sesuatu yang bersifat ‘on going process’ sifatnya. Ia dibina secara berdikit-dikit dan berterusan. Mungkin sebelum berkahwin, tahap solehahnya rendah tetapi dengan pimpinan suaminya nanti, tahap solehahnya boleh dipertingkatkan lagi. Bila sudah menjadi isteri kita kelak, pandai-pandailah mendidiknya.
Tetapi bukan bermaksud kita boleh bersikap sambil lewa atau lebih kurang mengenai soal-soal prinsip. Panduan dan ajaran islam adalah mudah, tetapi itu bukan alasan untuk dipermudah-mudahkan. Sifat-sifat lelaki soleh dan wanita solehah pada prinsipnya telah jelas. Seseorang mesti lebih ketat dalam menilai diri sendiri. Letakkanlah satu piawaian yang lebih tinggi buat diri sendiri berbanding ‘bakal’ pasangan kita.

PESANAN BUAT LELAKI
Lelaki bakal menjadi pemimpin isteri dalam keluarga, maka sebaiknya permudahkan dan rendahkanlah sedikit penilaian terhadap calon isteri kita. Dengan perkiraan setelah dia menjadi isteri kita nanti insya-Allah kita akan terus mendidiknya lagi.
Jadi tunggu apa lagi, marilah kita tamatkan penantian solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan soleh dalam diri kita sendiri. Ubahlah diri, nescaya orang lain akan berubah hasil perubahan kita. Jadilah kawan,..bukan carilah kawan”. Ertinya kita mesti jadikan diri kita sendiri sebagai kawan terlebih dahulu, kemudian secara automatic orang lain akan berkawan dengan kita.

“Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik…” (An-Nur 24: 26)

Rujukan: Pahrol Mohd Juoi (1961) Tentang Cinta, Telaga Biru Sdn Bhd.

Anwar Jauhari
www.anwaruitm.blogspot.com
3 Muharran 1432
Dewan Solat Utama, Masjid At-Taqwa
Desa Subang Permai, Shah Alam, Selangor.
Sempena Kem Smart 3S : Solat, Soleh, Sukses!

No comments:

Post a Comment